mcmc
Kisah Kejayaan

Q1 2025 – MAHIR – Nur Mahirah Binti Mohamad Senusi

PESERTA MAHIR

Nama: Nur Mahirah Binti Mohamad Senusi
Umur: 25 tahun
Ahli: 2024

Latar belakang

Nur Mahirah Binti Mohamad Senusi merupakan pelajar IPTA. Beliau mula hadir ke NADI Kampung Gemang dan mendaftarkan diri menjadi ahli NADI pada 12 Oktober 2024.

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan NADI

Sebelum menyertai program Mahir Fotografi anjuran NADI, Nur Mahirah merupakan seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang memiliki minat terhadap bidang fotografi. Namun demikian, beliau tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang tersebut dan tidak pernah mengikuti sebarang kursus atau kelas berkaitan fotografi secara formal.

Menyedari kepentingan ilmu dan kemahiran teknikal dalam bidang ini, Nur Mahirah telah mengambil inisiatif untuk mendaftar sebagai peserta program Mahir Fotografi. Sepanjang penglibatannya dalam program ini, beliau telah didedahkan kepada pelbagai topik pembelajaran penting seperti asas pengendalian kamera, teknik pencahayaan, komposisi imej, serta penggunaan perisian penyuntingan foto.

Selain itu, Nur Mahirah turut diajar kaedah menghasilkan gambar yang berkualiti serta teknik penghasilan video yang menarik dan berkesan. Program ini merangkumi pembelajaran teori dan amali, yang membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan secara langsung melalui tugasan dan latihan praktikal. Penglibatan dalam program ini telah memberi pendedahan awal yang menyeluruh kepada Nur Mahirah dalam bidang fotografi dan videografi.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan NADI

Selepas menyertai program Mahir Fotografi anjuran NADI, Nur Mahirah menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang fotografi dan videografi. Melalui bimbingan secara atas talian oleh tenaga pengajar yang berpengalaman, beliau berjaya menguasai asas-asas teknikal fotografi termasuk kawalan pencahayaan, komposisi imej, serta teknik penggambaran yang kreatif dan berkesan.

Sepanjang program, Nur Mahirah menggunakan telefon bimbit miliknya sebagai alat utama untuk merakam dan menyunting gambar serta video, dengan bantuan aplikasi suntingan mudah alih. Dalam masa yang sama, beliau turut diberi peluang untuk menggunakan peralatan asas fotografi yang disediakan khas oleh pihak NADI kepada peserta program Mahir Foto. Ini memberi beliau pengalaman secara langsung dalam mengendalikan peralatan asas yang lazim digunakan dalam penghasilan kandungan visual, serta memperluas pemahamannya mengenai teknik dan pendekatan fotografi yang lebih berstruktur. Melalui program ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal Nur Mahirah, malah turut meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kebolehan bekerja secara berdikari. Program ini telah memberi impak positif kepada perkembangan peribadi dan profesional Nur Mahirah, serta menjadi batu loncatan untuk beliau melibatkan diri secara lebih aktif dalam bidang kreatif.